Sabtu, Jun 20, 2009

isu semasa dlm negara(pendidikan)

Biasiswa: Jangan tunduk gesaan pihak tertentu

Kerajaan diminta jangan tunduk kepada gesaan sesetengah pihak yang mahukan hanya pelajar yang memperoleh 9A atau lebih menerima biasiswa sebaliknya mengambil kira mereka yang mempunyai kebolehan menyeluruh.

Di samping itu pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut meminta kerajaan berhati-hati dengan sistem meritokrasi dalam pemberian biasiswa kerana dikhuatiri hanya pelajar daripada keluarga kaya yang menikmatinya.

Tokoh pendidik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad berkata, penerima biasiswa kerajaan bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik malahan perlu mempunyai kebolehan yang menyeluruh kerana mereka bakal menjadi pemimpin dalam bidang masing-masing.

Beliau berkata, pemberian biasiswa berdasarkan kepada kecemerlangan dalam akademik tidak mencukupi kerana aspek budi bicara, tanggungjawab dan perwatakan turut memainkan peranan.

Menurutnya, pelajar Melayu merupakan golongan yang memerlukan bantuan untuk dimajukan dan mungkin pencapaian mereka tidak begitu baik dalam bidang akademik tetapi pertimbangan juga perlu diberikan kepada aspek lain.

"Sebagai contoh, bukan sahaja pelajar yang memperoleh 15A yang mampu berjaya dalam hidup malahan 3A juga mampu mencipta kejayaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau memberitahu demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Samsuddin Bardan yang mahukan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diberikan kepada pelajar cemerlang dalam bidang akademik dan aktiviti kokurikulum.

Dalam pada itu beliau juga mahu kerajaan memberi pentafsiran tentang meritokrasi ketika memberi biasiswa kerana ia bermaksud berhak dan objektifnya tidak akan tercapai sekiranya penilaian hanya dilakukan ke atas pencapaian akademik.

Beliau seterusnya mencadangkan biasiswa diberikan mengikut komposisi dan taburan masyarakat di negara ini.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menasihatkan kerajaan supaya berhati-hati dan membuat perkiraan pelbagai aspek ketika memberi biasiswa berasaskan meritokrasi.

Katanya, pelajar yang memperoleh 15A dan cemerlang dalam bidang akademik selalunya mengikuti tuisyen dan kelas tambahan serta berasal daripada keluarga berkemampuan.

"Sekiranya biasiswa hanya diberikan kepada kelompok ini, bagaimana pula dengan nasib yang hanya memperoleh tujuh atau lapan A tetapi tidak berkemampuan hendak melanjutkan pelajaran," soalnya.

Katanya, kerajaan boleh membantu kaum lain tetapi bukan dengan cara meritokrasi kerana menurut Perlembagaan Malaysia, orang Melayu sama ada kaya atau miskin berhak menerima biasiswa.

Menurutnya, adalah menjadi satu kesalahan sekiranya kerajaan tidak melaksanakannya kerana ia termaktub dalam perlembagaan sebagai pertukaran kepada pemberian kerakyatan kepada imigran di masa lalu.

Beliau seterusnya mencadangkan dana asing ditubuhkan menerusi sumbangan wang oleh syarikat-syarikat mega kepunyaan bukan Melayu yang mendapat kontrak daripada projek-projek kerajaan.

Ketua Umum, Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar pula menyokong pemberian biasiswa JPA berdasarkan meritokrasi dengan pembahagian 60 peratus kepada bumiputera dan 40 peratus kepada bukan bumiputera.

Menurutnya, rasional pengagihan dengan kadar itu ialah orang-orang Melayu masih ketinggalan dalam bidang pendidikan berikutan pencapaian ekonomi keluarga yang masih rendah.

Katanya, calon yang mempunyai keupayaan menyeluruh sebagai kriteria layak menerima biasiswa tidak perlu diwajibkan sebaliknya yang penting pelajar Melayu berpeluang melanjutkan pelajaran menerusi biasiswa.

Syed Anuar Syed Mohamad selaku Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pula berpandangan, pemberian biasiswa cara meritokrasi adalah cara terbaik.

Bagaimanapun tegasnya, kuota biasiswa untuk bumiputera seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia tidak perlu disentuh.

Dalam pada itu beliau bersetuju kriteria pemberian biasiswa berasaskan keupayaan menyeluruh pelajar kerana kini 10 peratus aktiviti kokurikulum juga jadi penentu pelajar memasuki institusi pengajian tinggi (IPT).

GPMS dalam perkara ini katanya selalu menasihati pelajar mengambil peluang tersebut untuk melayakkan mereka ke IPTA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan