Umur kemasukan pelajar di peringkat pengajian diploma atau ijazah di Malaysia adalah secara asasnya bermula pada umur 18 tahun. Yakni setelah pelajar itu berjaya memperolehi SPM.

Adalah sesuatu yang melegakan apabila seseorang remaja terutamanya bumiputera berjaya mengharungi liku dan cabaran hidup yang ditempuhi selama enam tahun setelah tamat UPSR dan memperolehi keputusan SPM yang cemerlang.

Ini kerana,pada peringkat umur 13 tahun hingga 17 tahun, setiap remaja di Malaysia akan mulai dipengaruhi dan terdedah kepada pelbagai anasir negatif yang menawarkan nikmat keseronokan sementara yang jika mereka hanyut, merekalah akan menjadi generasi pelapis masyarakat yang miskin dan berpendapatan rendah pada masa hadapan.

Ada pelbagai sebab yang menjadi punca kegagalan mereka, mungkin salahnya adalah berpunca dari kelalaian mereka sendiri, tetapi ibubapa mereka harus juga dipertanggungjawabkan kerana tidak harus membiarkan anak-anak mereka tanpa sokongan dan bantuan yang secukupnya supaya mampu hidup berdikari tanpa perlu menagih bantuan dan simpati masyarakat. Namun,apa yang menyedihkan ada ibu-bapa yang memaksa anak mereka meninggalkan bangku persekolahan lebih awal atas alasan kemiskinan tanpa menyedari tindakan mereka hanyalah tindakan yang mementingkan diri mereka.

Adalah lebih malang jika ada ibu bapa tidak memahami dan menyedari akan kepentingan pendidikan untuk kelangsungan hidup anak-anak mereka pada masa hadapan. Walhal mereka bertanggungjawab untuk memberikan peluang yang terbaik pada anak mereka selaku generasi pelapis.

Semua sedia maklum, disebabkan kadar tabungan masyarakat bumiputera yang rendah, majoriti mereka tidak berupaya menyediakan dana secukupnya bagi setiap anak-anak mereka meneruskan pengajian diperingkat kolej dan universiti. Rata-rata mengharapkan simpati kerajaan dan masyarakat sekililing untuk menghulurkan bantuan.

Jesteru, setiap pelajar terutamanya yang datang dari keluarga yang serba kekurangan, harus sedar untuk mencapai keputusan cemerlang supaya ditawarkan peluang pengajian dengan tanggungan oleh biasiswa. Namum selebihnya, secara terpaksa atau tidak, membiarkan diri mereka mengikat liabiliti seumur hidup dengan meminjam dengan dana dari PTPTN. Jika mereka bernasib baik, keluarga mereka telah bersedia dengan dana pendidikan dan memberi sokongan dan peluang kepada mereka untuk mencapai cita-cita mereka.

Secara amnya, setiap remaja kini boleh meneruskan pendidikan selepas SPM. Peluang untuk meraih kecemerlangan masa depan kini terbuka luas, dari pelbagai kursus-kursus kemahiran, politeknik, hinggalah ke kolej atau universiti awam dan swasta. Pilihan ada ditangan anda, bergantung kepada keputusan SPM yang diterima.

Maka bermulalah satu cabang kehidupan yang baru. Anda mula mengecapi kehidupan dewasa tanpa pengawasan ibu bapa seawal usia 19 tahun. Jika hanyut, anda yang dahulunya cemerlang, akan mulai mengalami bukan sahaja kemerosotan keputusan peperiksaan akhir semester tapi mungkin diantara anda yang mulai hilang pegangan hidup dibawa arus kebebasan hidup. Namun, tidak dinafikan ramai juga antara anda yang dahulunya gagal dibangku sekolah menengah, mulai mengenal erti dewasa dan mula merebut peluang untuk berjaya.

Diperingkat kolej atau universiti, anda perlu merebut peluang dengan menyertai pelbagai aktiviti dan program yang dijalankan untuk membantu anda memperolehi sijil-sijil sokongan yang akan membuktikan anda adalah individu yang berketerampilan bukan sahaja dari segi kecemerlangan keputusan akedemik tetapi juga aktif dibidang kokurikulum.

Namun, masih ramai yang gagal mengatasi cabaran fizikal dan mental sewaktu di kolej dan universiti. Ramai yang hanyut, tidak mempunyai kemahiran untuk mengimbangi masa dengan bijak dan tidak fokus pada tujuan asal mereka berada di kolej atau universiti.

Mereka tidak berupaya menamatkan pengajian mengikut tempoh yang ditetapkan, dengan menukar jurusan, atau dengan menukar dan mengulang subjek. Ini bukan sahaja menjejaskan peluang mereka untuk merebut peluang pekerjaan dengan segera, bahkan mengalami risiko, tangunggan pembiayaan mereka ditamatkan oleh pihak biasiswa atau PTPN.

Ada pelbagai faktor yang boleh menjadi punca kegagalan anda, melalui pengalaman dan pemerhatian mereka-mereka yang telah gagal, faktor kegagalan yang saya rumuskan sebagai faktor 5 “L”, yang mengakibatkan anda ‘Losing’ dan tergolong dalam golongan ‘Loser’;

Leisure

Kegagalan anda mengimbangi dan mengawal diri dalam arus keseronokan sementara akan akhirnya meningkatkan risiko anda keciciran. Terutamanya jika anda tidak hadir ke kelas syarahan atau tutorial.

Bukan tidak boleh berseronok tetapi jika anda seorang yang perlu waktu tidur yang cukup untuk bangun pagi, maka, harus memaksa diri anda untuk mengatur masa anda berseronok dengan lebih bijak.

Apa yang memburukkan keadaan jika wang elaun biasiswa,PTPTN habis dibelanjakan untuk menampung aktiviti anda untuk berseronok hinggakan terpaksa mencari sumber kewangan tambahan tanpa mengira halal haram. Apa yang menyedihkan lagi, ada antara mereka sanggup menipu ibu bapa, sahabat andai, saudara mara untuk mendapatkan wang tambahan.

Jika anda seorang yang tidak genius, maka anda harus berusaha keras untuk memperolehi GPA yang cemerlang. Imbangi masa anda dengan bijak dan kenal pasti priority anda selaku pelajar.

Love

Diperingkat umur 18-22 tahun, naluri untuk bercinta, menyintai dan berpasangan menjadi semakin kuat. Ditambah lagi dengan dorongan nafsu yang semakin menjadi-jadi.

Bercinta mempunyai kesan positif dan negatif mengikut kekuatan minda dan emosi anda. Jika bercinta memberi kesan positif terhadap pelajaran anda, teruskan. Jika anda tidak mempunyai kekuatan minda dan emosi yang waras dan stabil,serta mudah hanyut dengan belaian jiwa dan emosi hingga menggangu fokus anda pada pelajaran, berkawan bukan sahaja lebih bijak malahan menguntungkan anda. Keep yourself available dan biarkan mereka mengejar diri anda.
Anda harus memberikan diri anda kebebasan untuk memilih.Bahkan diwaktu ini, tidak ada sesiapa yang patut mengongkong anda untuk membuat pilihan untuk mendapatkan hanya yang terbaik.
Pada anda yang tidak bernasib baik ‘dipasaran’ jangan jadikan ia satu bebanan jiwa yang melunturkan semangat anda untuk. Siapa tahu, nasib anda lebih baik apabila anda memasuki alam pekerjaan.

Sesungguhnya percintaan hanyalah satu permainan minda.Jangan biarkan ia menguasai fikiran dan jiwa anda!

Lost

Sesat. Jangan terperanjat jika saya katakan,ramai pelajar yang hilang arah tuju sewaktu diuniversiti atau kolej. Mereka ini mungkin terpinga-pinga dengan persekitaran baru, dan lambat untuk memahami, dan menyesuaikan diri dengan peraturan , sistem dan budaya yang mungkin asing bagi mereka sebelum ini.

Saya berani katakan, ada ramai pelajar yang tidak memahami corak dan budaya pendidikan di kolej dan universiti dan kesannya jika mereka gagal, mengulang,atau menukar jurusan mereka.

Jika di sewaktu sekolah menengah mereka disuap dan dibantu oleh guru-guru,diselia dan diawasi oleh guru-guru dan pihak sekolah. Di universiti atau kolej majoriti pensyarah dan tutor mengharapkan pelajar mereka untuk lebih berdikari. Pelajar harus berusaha sendiri untuk mendalami sesuatu tajuk atau tugasan.

Tiada lagi paksaan untuk menghadiri kuliah, atau tutorial, tiada yang peduli jika tugasan tidak disiapkan atau dihantar. Mereka yang leka dan hanyut akan terus hanyut sehingga mungkin hanya sedar setelah pengajian mereka digantung atau pembiayaan biasiswa mereka ditarik balik.

Sebilangan besar mereka terdiri dari mereka yang tidak mampu berdikari, hingga setiap sesuatu yang dilakukan perlu dilakukan dengan secara bersama dengan kumpulan sahabat yang “sebulu” dengan mereka sahaja.

Sehinggakan waktu makan, waktu kelas mereka diatur mengikut persetujuan bersama. Mereka takut untuk bergaul dengan lebih ramai orang dari pelbagai latar belakang dan tidak ingin kelihatan menyendiri. Ada yang sanggup menyertai kelas pagi, walaupun seorang yang sukar untuk bangun pagi dan mungkin menyertai jurusan yang tidak diminati, hanya untuk bersama dengan geng yang sebulu dengan mereka.

Adalah amat merugikan jika anda masih enggan keluar dari kepompong alam sekolah menengah, seolah-olah tidak boleh berpisah dengan kawan yang satu sekolah,sekampung, setaman dengan anda.

Oleh itu bebaskan diri anda dari rantai-rantai negatif yang tidak memberi keuntungan pada diri anda. Pupuklah semangat yakin diri dari hari pertama anda memasuki universiti dan kolej, Kenali diri anda dan berpeganglah pada prinsip-prinsip positif diri anda dan asal usul anda.

Anda juga harus bijak memilih kawan. Pastikan anda tidak terlalu terikut dan terikat pada satu kumpulan sahaja. Sebaliknya, anda harus bijak menguasai persekitaran supaya ia memberi manfaat pada diri anda terutama kepada prestasi pelajaran dan masa depan anda.

Selain dari itu, fahami lah peraturan dan sistem yang digunapakai di universiti atau kolej anda. Sistem pendidikan menengah adalah jauh berbeza dengan sistem pendidikan di universiti dan kolej. Pilihlah kolej, universiti dan jurusan pengajian yang besesuaian dengan kelulusan dan minat anda. Buatlah kajian latar belakang berkenaan jurusan dan masa depan kursus dan jurusan yang dipilih, serta tempat pengajian sebelum membuat keputusan.

Rujuklah dengan pejabat dekan, atau pegawai hal ehwal pelajar jika anda tidak pasti atau google terlebih dahulu di internet.Jangan bertanya pada rakan-rakan kerana kemungkinan mereka juga sesat seperti anda.

Late
Percaya atau tidak, tabiat lambat atau leka adalah sindrom buruk yang jika dibiarkan menjadi budaya dan tabiat diri akan menjadikan anda seorang yang perlahan minda dan fizikal.

Masakan tidak, jika anda menjadikan lambat dan leka satu budaya diri anda maka, anda akan ketinggalan dari segenap segi. Mungkin terpaksa duduk dibelakang kelas yang bagi saya adalah satu budaya buruk yang pada mereka yang lemah minda dan tidak berkeyakinan diri terutamanya pada pelajar bumiputera.

Anda juga mungkin terpaksa menghadiri kelas syarahan atau tutorial yang bukan mengikut waktu kualiti anda jika ia telah penuh kerana lambat mendaftarkan diri dan pelbagai lagi kesan negatif jangka panjang dan jangka pendek bagi anda yang suka membudayakan lambat sebagai salah satu jati diri anda.

Lazy

Malas, merupakan penyakit mental yang jika tidak mampu dikawal akan memberi kesan jangka panjang kepada anda selaku pelajar.

Apabila malas, mereka menangguh kerja, bersikap tidak apa, dan mementingkan aktiviti berseronok yang bersifat sementara.Mereka gagal merancang masa dengan bijak dan suka mengambil jalan mudah untuk berjaya.

Mereka malas melakukan kajian mendalam,tidak mengambil tumpuan secara terperinci terhadap tugasan.Meniru, ciplak atau plagiat menjadi satu budaya yang tidak asing. Apa yang menyedihkan apa yang ditiru tidak diolah dengan pendekatan baru untuk menjadikannya sesuatu yang lebih baik tetapi tidak langsung difahami dan menyimpang dari konteks yang dikehendaki. Oleh itu, mereka gagal mempraktikkan apa yang dipelajari apabila memasuki alam pekerjaaan.

Apabila fokus dan tanggungjawab selaku pelajar tidak diberi keutamaan, budaya tidak apa, menangguh dan berhiburan secara berlebihan akan memakan diri mereka di kemudian hari.Malahan, jika berjaya menamatkan pengajian pun, mereka akan menjadi liabiliti syarikat apabila memasuki alam pekerjaaan kelak.

Sesungguhnya, alam universiti atau kolej merupakan satu medan peperangan minda bagi anda. Jika anda tewas, akibat buruknya harus ditanggung anda seumur hidup anda yang bukan sahaja memberi kesan kepada taraf kehidupan anda di masa depan, tetapi masa depan keluarga yang akan di bina kelak. Jangan biarkan diri anda menempah tiket kehidupan sengsara apabila memasuki alam kehidupan bermasyarakat kelak. Saya pasti, anda pasti mahukan semua yang terbaik bagi diri anda yang sememangnya dilahirkan untuk menjadi insan yang terbaik.Kejayaan tidak akan datang bergolek jika tidak diasah dengan usaha dan keazaman yang tinggi.

PETIKAN DARI-http://miloskilos.wordpress.com/2008/11/24/remaja-selepas-spm-persedian-untuk-kejayaan-atau-kegagalan