Isnin, April 06, 2009

CABARAN SENGIT LANJUT PELAJAR-IPT sedia terima 128,295 penuntut


MOHAMED Khaled bermesra dengan pengunjung Karnival Pengajian Tinggi di Plaza Angsana, Johor Bahru, semalam.

Kerajaan tambah peluang lanjut pelajaran


JOHOR BAHRU: Sebanyak 128,295 tempat ditawarkan untuk kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam, politeknik dan kolej komuniti sesi Julai ini, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, kementeriannya tahun ini menerima 400,996 permohonan yang merangkumi kursus ijazah sarjana muda, program diploma dan sijil, politeknik serta kolej komuniti di seluruh negara.


"Daripada 128,295 tempat yang tersedia, 40,559 daripadanya adalah bagi lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan matrikulasi, manakala 28,000 untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Sebanyak 43,216 tempat turut ditawar bagi kemasukan ke politeknik manakala 16,520 tempat lagi di kolej komuniti seluruh negara dalam pelbagai kursus kemahiran sepenuh masa dan kursus jangka pendek," katanya selepas menutup Karnival Pengajian Tinggi Negara Zon Selatan di Plaza Angsana di sini, semalam.

Mohamed Khaled berkata, jumlah kemasukan itu tidak termasuk tempat ditawarkan lebih 500 institusi pengajian tinggi IPT swasta seluruh negara menunjukkan kerajaan menyediakan peluang yang cukup untuk memastikan rakyat mempunyai pendidikan terbaik di peringkat pengajian tinggi.


Beliau berkata, kerajaan menyediakan peruntukan RM3 bilion sama seperti tahun lalu untuk pelajar baru membuat pinjaman melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tahun ini walaupun ketika negara menghadapi kelembapan ekonomi.

Katanya, jumlah penerima yang layak untuk menikmati pinjaman berkenaan meningkat lima peratus berbanding tahun lalu seramai 163,779 orang.

Beliau berkata, kemudahan PTPTN terus diberikan untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

"Selain itu, 10,000 biasiswa turut ditawarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) iaitu 2,000 biasiswa untuk pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara, manakala bakinya di negara ini.


"Saya berharap graduan lepasan ijazah pertama mengambil peluang melanjutkan pelajaran peringkat sarjana kerana kerajaan menampung kos yuran pengajian RM10,000 untuk setiap pelajar, manakala RM20,000 untuk yuran pengajian dan bahan penyelidikan melalui Bajet Mini 2009 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan